Kekalahan Di Perlis : Mesej Jelas Kepada Pembangkang, “Rakyat Tidak Lagi Tertipu”
 
Oleh qammarool latief 
 
Kuala Lumpur -- Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Indera Kayangan memberi mesej jelas kepada pembangkang bahawa rakyat tidak lagi tertipu dengan dakyah yang dibawa oleh mereka. 
 
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein berkata pengundi jelas tidak membenarkan retorik-retorik kosong dan kepentingan politik peribadi mengubah pendirian mereka semasa melakukan pengundian. 
 
Katanya lagi walaupun pembangkang menggunakan pendekatan itu namun hasil kesedaran, orang ramai telah membuat penilaian dan pertimbangan tepat untuk mendapatkan kebenaran. 
 
“Jika mereka menuduh kita (BN) bertindak ganas, umumnya orang ramai boleh melihat siapa yang sebenarnya ganas seperti apa yang telah berlaku di Lunas. Mereka menuduh kita rasuah tetapi rakyat boleh melihat apa yang berlaku dengan kawasan-kawasan balak di Terengganu. 
 
“Rakyat boleh melihat sejauh mana kebenaran tuduhan mereka termasuklah dakwaan tentang ketidakadilan dan tidak berperikemanusian.  
 
“Ini boleh dibuktikan dengan perbuatan mereka yang menyerang peribadi Menteri Besar Perlis berkaitan soal insiden kematian anaknya dan juga menganggap pembunuhan di Sauk sebagai satu sandiwara”, katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di sini, hari ini. 
 
Katanya lagi, segala alasan yang diberikan oleh pembangkang berikutan dengan kekalahan mereka di Indera Kayangan membutikan betapa mereka kini berada dalam keadaan yang bercelaru. 
 
Beliau berkata pembangkang juga tidak mempunyai isu kerana masih lagi menjaja isu-isu basi termasuklah yang berbau perkauman. 
 
Kekalahan pembangkang menurutnya lagi bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan dan apa juga dakwaan selepas melihat penolakan rakyat terhadap calon mereka tidak lebih sekadar satu alasan sahaja. 
 
Katanya lagi Pemuda juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim serta seluruh jentera pilihanraya BN di atas kemenangan besar ini. 
 
Kemenangan ini turut membuktikan penerimaan golongan muda terhadap BN bertambah baik. 
 
Justeru, tambah beliau, Pemuda akan meneruskan program-program bagi memantapkan lagi pergerakan itu dengan mengadakan kursus-kursus kepimpinan di semua peringkat. 
 
Mengenai bilik-bilik gerakan sebagai persiapan menghadapi pilihanraya, beliau berkata pada peringkat negeri dan juga bahagian telah pun selesai dilaksanakan.